KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman menyokong inisiatif kerajaan Pahang bagi menangani masalah kemiskinan haid dalam kalangan remaja wanita dari golongan B40.
Kemiskinan haid adalah situasi di mana seseorang wanita itu menghadapi kesukaran mendapatkan kelengkapan haid seperti tuala wanita atau tampon akibat kemiskinan atau beban kewangan.
Jelas Young Syefura yang lebih dikenali sebagai Rara, masih ramai yang tidak menyedari seriusnya isu kemiskinan haid dan ia bukan sahaja melibatkan remaja bahkan ia melibatkan semua wanita dari golongan B40.
Justeru pihaknya berharap pihak kerajaan negeri agar usaha dan inisiatif itu diperluaskan kepada golongan wanita bukan sahaja golongan remaja tetapi untuk semua wanita dari golongan B40.
“Kemiskinan haid ini juga bukan sahaja berkaitan dengan isu kesusahan golongan wanita untuk mendapatkan tuala wanita. Kekurangan air bersih untuk membersihkan diri ketika didatangi haid juga antara aspek yang termasuk di dalam kemiskinan haid ini,” katanya ketika Sidang DUN di Wisma Sri Pahang hari ini.
Terdahulu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersetuju memperuntuk sebanyak RM500,000 bagi menangani isu berkenaan yang akan diuruskan oleh Majlis Pembangunan Wanita Pahang.
Ia susulan luahan seorang remaja berusia 18 tahun dari Luit, Maran, Raja Noradrina Raja Azmi yang membangkitkan isu kemiskinan haid remaja wanita dari golongan B40 semasa program Townhall Bajet Anak Muda Pahang. – MalaysiaGazette