Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) bersiap siaga untuk menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan semangat yang tinggi bagi menyelamatkan negara dan rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penyertaannya adalah dengan tekad untuk meneruskan agenda prihatin rakyat serta mengangkat martabat umat dan negara.

Kata beliau, PN beriltizam untuk terus mengorak langkah menjana kekayaan negara, memacu pertumbuhan ekonomi lestari, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan menjamin kemakmuran bersama.

Justeru, beliau menyeru rakyat yang layak mengundi keluar beramai-ramai melaksanakan tanggungjawab demi masa depan nusa dan bangsa.

Beliau turut menyifatkan pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat lalu sebagai sia-sia dan membazir sumber tenaga apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara tergesa-gesa mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat.

Katanya, anggota perkhidmatan awam berhempas pulas mengerah fikrah dan tenaga bagi menyediakan belanjawan, tetapi tidak dilaksanakan.

“Perkembangan politik semasa menggambarkan UMNO gagal merasai denyutan nadi rakyat dan gagal untuk bersama rakyat dalam situasi pemulihan ekonomi serta keadaan cuaca yang amat mencabar.

“Pendirian PN adalah tuntas dan bertanggungjawab supaya tumpuan sepenuhnya diberikan kepada usaha mencerdaskan serta memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Jelasnya, beza kerajaan sekarang ialah gagal fokus untuk memulihkan ekonomi rakyat dan negara berbanding dengan kerajaan PN sebelum ini.

Kata Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kerajaan PN sebelum ini telah melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion.

“Pakej ini telah memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk peniaga kecil, orang bujang, majikan dan pekerja serta industri,” ujarnya.

Mengenai persiapan PRU dalam musim tengkujuh, Mohamed Azmin berkata, antara yang disediakan ialah dari segi kelengkapan aset penting, bantuan makanan dan keperluan asas, akses kepada perkhidmatan kesihatan serta bantuan pasca banjir.

Ujar beliau, PN senantiasa meletakkan kepentingan dan keselamatan rakyat sebagai agenda terpenting.

“Hakikatnya, ada parti politik yang tidak mahu melihat peratusan keluar mengundi tinggi kerana peratusan keluar mengundi yang rendah akan memberi lebih peluang kepada parti berkenaan untuk menang.

“Inilah wajah sebenar mengapa PRU15 diadakan dalam musim hujan lebat dan kemungkinan banjir besar, walaupun PN tidak gentar dengan kedegilan dan keangkuhan UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette