KUALA LUMPUR – Bagi mempromosikan Experiential Tourism di Selangor, kerajaan Negeri Selangor menganjurkan lawatan di Bangkok, Thailand bersama Hos Komuniti Setempat Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Lawatan anjuran agensi promosi pelancongan rasmi negeri Selangor, Tourism Selangor dengan sokongan Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) serta pejabat Tourism Malaysia di Bangkok berlangsung selama enam hari bermula 28 September hingga 3 Oktober 2022 yang lalu.

Diketuai Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian serta Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad, program ini mempamerkan pelbagai siri Pelancongan Berasaskan Komuniti di Bangkok seperti yang disyorkan TAT termasuk Float House River Kwai Resort, Nang Loeng, Hua Takhe dan Pasar Chatuchak.

Menurut Loy Sian, Selangor telah terlibat secara aktif dalam program ini kerana pelancongan berasaskan komuniti dapat memastikan pemain utama industri pelancongan dan komuniti saling menyokong antara satu sama lain.

Lawatan Tourism Selangor ke Bangkok, Thailand baru-baru ini.

“Tourism Selangor mengorak sebuah lagi langkah bagi memainkan peranan penting dalam mewujudkan rangkaian dan jalinan antara pelbagai sektor pelancongan.

“Usaha ini turut disokong Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB),” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, lawatan Pelancongan Berasaskan Komuniti Selangor di Bangkok adalah bagi memperbaharui industri pelancongan Selangor serta menambah baik beberapa kawasan tumpuan pelancongan yang ikonik di negeri ini.

“Beberapa lokasi tumpuan pelancongan termasuk Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor, Sawah Padi Sekinchan di Sabak Bernam, Kelip-kelip Kampung Kuantan di Kuala Selangor, Bandar Diraja Klang, Pusat Warisan Kajang serta Perkampungan Budaya Mah Meri di Kuala Langat.

“Selangor mempunyai kelebihan akses keluar dan masuk yang boleh menarik lebih 10.2 juta pengunjung bagi tahun 2021,” katanya.

Jelasnya lagi, ini akan dipertingkatkan lagi dengan pelaksanaan Pelancongan Berasaskan Komuniti di samping memastikan produk Pelancongan Selangor berdaya saing, inovatif dan mengikut trend dan permintaan semasa.

“Ada beberapa program yang diuruskan bersama negara lain seperti Hos Komuniti Setempat Selangor akan dapat memperhebatkan lagi pelancongan antarabangsa ke Selangor.

“Usaha ini akan dapat menyumbang secara langsung ke arah kempen Splendid Selangor, Take Me Anywhere!, yang merupakan kempen pemasaran pelancongan global oleh Tourism Selangor,” ujarnya.

Kempen ini bertujuan menjadikan Selangor sebagai destinasi pelancongan terkemuka serta meningkatkan kerjasama dengan negara-negara yang berminat. – MalaysiaGazette