Sebanyak 20 set bubu kambang atau bubu naga dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam sebuah operasi Op Aman di kedudukan satu batu nautika perairan Kuala Kuar, Kedah semalam.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 set bubu kambang atau bubu naga dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam sebuah operasi Op Aman di kedudukan satu batu nautika perairan Kuala Kuar, Kedah semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim, Noor Azreyanti Ishak berkata, dalam rondaan rutin yang dilakukan pihaknya menemui pelampung penanda dan pancang yang mencurigakan.

“Kedua-dua pelampung penanda dan pancang itu dipasang pada setiap bubu naga berukuran lebih kurang 10 meter panjang di lokasi berkenaan.

“Anggaran kesemua hasil rampasan bubu naga bernilai lebih kurang RM2,400,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Noor Azreyanti berkata, bubu naga terbabit dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Dalam pada itu beliau mengingatkan nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.

Tambah beliau, Maritim tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan negara. – MalaysiaGazette