Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Lima kluster industri membabitkan 46 cadangan program intervensi telah dirangka di bawah Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus bagi menarik pelabur luar.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lima kluster itu  merangkumi kluster pelancongan, pertanian, mineral, perkayuan dan perkhidmatan termasuk pembangunan modal insan.

“Kesemua cadangan program intervensi ini dilaksanakan di pelbagai peringkat iaitu sesi libat urus bersama peneraju bagi pelaksanaan aktiviti mengikut pembangunan projek, memuktamadkan tapak dan mengenal pasti atau mendapatkan pelabur.

“Ini antara sebahagian usaha jangka masa pendek yang telah dirancang oleh Kerajaan Pahang bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi menarik pelaburan berkualiti ke Pahang Barat Plus.

Dalam pada itu sebagai usaha jangka panjang pula, sesi libat urus secara berterusan akan terus diadakan bersama peneraju yang dikenalpasti bagi memastikan cadangan program intervensi dapat dijalankan selaras dengan penepatan pelaksanaan projek.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pernyataan Lee Ah Wong (BN-Cheka) yang ingin tahu usaha susulan jangka pendek dan panjang serta impak  menerusi pelan berkenaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Tambah Wan Rosdy, pelaksanaan Quick Wins mengikut kluster industri utama yang sedang dilaksanakan oleh agensi peneraju dan dipantau oleh Pahang Barat Plus melibatkan kluster pelancongan.

Ia melibatkan zon tanah tinggi, semula jadi dan keberadaan masyarakat orang asli di keenam-enam daerah di Pahang dengan keunikan budaya, kraf tangan serta kesihatan.

“Potensi yang dipamerkan oleh masyarakat ini apabila digabungkan menjadi satu pakej menarik boleh ditawarkan kepada pelancong, sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk di Pahang Barat Plus ini.

“Intervensi yang diketengahkan sebagai projek Quick Wins adalah membangunkan kompleks perkampungan budaya orang asli di Pos Betau, Lipis,” katanya.

Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus diluluskan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus yang dipengerusikan oleh Menteri Besar pada 3 Jun 2022 lalu. – MalaysiaGazette