Khoo Poay Tiong (dua dari kiri) berucap pada Majlis Pelancaran Kad Laporan Ahli Parlimen Kota Melaka (2018-2022) di pejabatnya di Kota Laksamana Jaya, Melaka, hari ini.

MELAKA – Barisan Nasional (BN) mempunyai banyak kelebihan untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana mempunyai peralatan dan jentera untuk kegunaan musim tengkujuh

Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong berkata, berbeza dengan Pakatan Harapan (PH), mereka akan berdepan dengan pelbagai kekurangan termasuk jentera parti dan kelengkapan untuk mengharungi cuaca buruk bertemu pengundi.

“Berbanding parti pemerintah, mereka ada banyak jentera parti, banyak wang untuk kempen, banyak media yang mereka dapat kawal dan dari segi itu memang kita akan hadapi disadvantage (kekurangan).

“Kita (Melaka) baru adakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas dan tak sampai pun satu tahun terpaksa pula hadapi PRU jadi sudah tentu sumber jentera parti kita juga akan berada di posisi yang disadvantage lah (lemah),” katanya.

Penyandang Ahli Parlimen Kota Melaka itu berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kad Laporan Ahli Parlimen Kota Melaka (2018-2022) di pejabatnya di Kota Laksamana Jaya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Poay Tiong berkata, BN dan UMNO pastinya akan menggunakan segala taktik yang ada untuk memastikan kemenangan kali ini.

“Mereka (BN) nak adakan PRU pada waktu banjir dan kalau jalan terputus hubungan, bagaimana orang bandar nak balik mengundi sedangkan semua penyokong kita yang di kota nak balik kampung untuk mengundi.

“Kemudian, kalau ada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) mereka akan gunakan jentera perkhidmatan awam untuk berkempen,” dakwanya. – MalaysiaGazette