Pejabat Muafakat Nasional yang masih dikekalkan di Menara Dato' Onn.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap hubungannya dengan rakan-rakan Pas akan berkekalan walaupun kedua-dua parti tidak bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ahmad berkata, ruang yang menempatkan pejabat Muafakat Nasional di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn masih dikekalkan sehingga kini.

Menurutnya muafakat antara umat Islam dan Melayu dengan Pas masih boleh diteruskan secara individu.

“MN #MuafakatNasional ada pejabat di #WTCKL/PWTC. Baru-baru ini kami setiausaha-setiausaha perhubungan UMNO negeri adakan mesyuarat di situ.

“Walau Pas tidak bersama UMNO pada PRU-15 diharap hubungan sahabat tidak putus. Muafakat umat diterus dengan hubungan individu walau bukan melalui parti,” ciap beliau di Twitter.

Semalam Pas membuat keputusan muktamad memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai sekutu menghadapi PRU-15.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat atas prinsip penyatuan ummah.

“Melalui mesyuarat ini juga Pas memuktamadkan perbincangan kerusi di negeri dengan PN,” kata Abdul Hadi selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di pejabat agung parti itu yang berlangsung selama lebih tiga jam.

Perkembangan tersebut bermakna Pas menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menjalinkan kerjasama pada PRU-15.

Serentak itu Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan pihaknya juga akan bergerak secara solo dalam pilihan raya nanti.

“Dengan keputusan ini, UMNO bersama BN akan terus bergerak solo dengan mengekalkan imej parti yang sentiasa berpaksikan kesederhanaan dan mampu menawarkan kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat berbilang kaum dan agama dalam negara ini,” menurutnya dalam kenyataan.

Hubungan UMNO dan Pas yang bermusuhan sejak sekian lama bertaut selepas PRU-14 yang menyaksikan kekalahan BN.

Kedua-dua parti itu menjalinkan hubungan selepas merasakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menjaga kepentingan umat Islam dan orang Melayu.

Kemuncak persahabatan itu berpuluh-puluh ribu penyokong kedua-dua parti mengambil bahagian dalam perhimpunan di sekitar ibu negara pada 8 November 2018.

Perhimpunan itu dilakukan bagi meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum yang mahu diambil oleh Kerajaan Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.