Orang awam yang terima bekalan makanan ketika terperangkap banjir akibat hujan berterusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Seksyen 25 Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kekeliruan Pakatan Harapan (PH) untuk memutuskan sama ada mahu mengadakan pilihan raya negeri dan Pilihan Raya Umum ke-15 secara serentak menunjukkan strategi gabungan ini sentiasa kabur.

Jurucakap Belia MCA, Jacob Lee Yee Yuan berkata, kegagalan PH membuat keputusan sebenarnya menunjukkan kelemahan masing-masing selama ini dalam mentadbir dalam pengurusan banjir di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Soal Jacob, jika selama ini PH mengambil berat tentang banjir, apa yang telah Kerajaan Negeri PH lakukan selama mentadbir Selangor dan Pulau Pinang selama 14 tahun dan Negeri Sembilan empat tahun.

Bahkan, dakwanya, pembangunan Pulau Pinang sendiri turut menyumbang ke arah keadaan banjir yang semakin teruk.

Beliau mengulas tindak-tanduk PH selepas enam hari pengumuman pembubaran Parlimen yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Majlis Presiden Harapan pula memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa tiga negeri di bawah pemerintahan PH — Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri mereka secara serentak untuk pilihan raya umum, dan mengulangi keutamaan mereka dalam pengurusan banjir.

Namun, tidak sampai seminggu kemudian, DAP Pulau Pinang dilaporkan meminta pimpinan pusat parti untuk mengkaji semula dan mengembalikan pendirian mereka.

Tambahan pula, Lim Guan Eng secara terbuka menggesa pilihan raya kebangsaan dan negeri diadakan serentak kerana mendakwa “rakyat Pulau Pinang” mahu pilihan raya serentak.

Jacob yang mengulas situasi itu berkata, lucunya, Guan Eng berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan keputusan muktamad.

”Adakah rakyat Pulau Pinang mengundi DAP atau Anwar?,” bidasnya.

Tambahnya, begitulah cara PH mentadbir negeri mereka dan mewajarkan keputusan mereka berbeza Barisan Nasional yang mempromosikan kestabilan dan kemakmuran dengan memastikan rakyat kebajikan terjamin melalui pembangunan yang mampan dan menyeluruh kerana berpengalaman mentadbir negara.

Beliau percaya, rakyat Malaysia akan memilih dengan teliti dalam pilihan raya akan datang, bagi wakil rakyat yang memilih berkhidmat untuk rakyat, tidak kira sama ada mereka dipilih atau tidak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast