Akar umbi UMNO Titiwangsa tetap mahukan Johari sebagai calon PRU15 bagi kerusi Parlimen Titiwangsa.

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Titiwangsa menerima sebanyak 72 usul daripada peringkat cawangan yang mencadangkan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi itu pada PRU15 ini.

Cadangan itu senada dengan ucapan Pengerusi UMNO Bahagian itu semasa merasmikan mesyuarat perwakilan pagi tadi, yang menyatakan kesediaannya turun gelanggang jika dicalonkan oleh pucuk pimpinan parti.

Semsa PRU14 yang berlangsung Mei 2018, Johari kalah dengan 4,139 majoriti undi kepada Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Dalam pertandingan itu, Rina mendapat 23,840 undi, manakala Johari sebanyak 19,701 undi dan calon Pas, Mohamad Noor Mohamad memperoleh 6,845 undi.

Kali ini Johari yang merupakan bekas Menteri Kewangan II dilihat sudah bersiap sedia bersinsing lengan berdepan dengan sesiapa sahaja calon daripada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Selain itu, Jawatankuasa UMNO Bahagian juga turut menerima usul daripada cawangan yang mencadangkan keahlian Datuk Zaharin Mohd Yasin yang digantung bermula 1 Oktober lalu diteruskan.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam 1 Oktober itu, bersetuju memecat keahlian Zaharin daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, keputusan itu diambil mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli UMNO di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

Sementara itu, MalaysiaGazette sempat merakamkan beberapa lagi usul yang dikemukakan perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa dalam mesyuaratnya di Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Antara usul itu ialah cadangan daripada akar umbi agar UMNO dan BN bergerak secara solo pada PRU ini tanpa bekerjasama dengan PN.

Ini kerana, UMNO dan BN telah membuktikan tanpa kerjasama dengan PN atau Pas, parti keramat orang Melayu itu boleh mencapai kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka tahun lalu.

Usul-usul lain ialah mencadangkan UMNO Bahagian itu mengaktifkan semula sayap parti Pemuda dan Puteri di peringkat cawangan, selain mencadangkan lirik lagu UMNO iaitu Bersatu, Bersetia, Berkhidmat ditukar perkataan ‘bersatu’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast