Rozilan Salleh menyampaikan sumbangan pada Program CSR MG Prihatin di Kg Kuala Tahan Jerantut, Pahang. Foto AFFAN FAUZI, 14 OKTOBER 2022.

JERANTUT – Cakna terhadap keperitan penduduk di kawasan pedalaman yang turut merasai peningkatan kos sara hidup pasca pandemik Covid-19, program Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) portal Malaysia Gazette (MG) kali ini berkunjung ke Pahang.

Kunjungan dua hari MG PRihatin buat pertama kali ke wilayah pantai timur melibatkan lapan buah perkampungan di daerah ini.

Antara lokasi yang dikunjungi ialah Kampung Chebong, Kampung Kuala Tahan, Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bukit Mat Daling, Kampung Gusai, Kampung Bantal dan Pulau Tawar.

“Sebelum ini, kita selalu buat program sumbangan zakat di lembah Klang, Kuala Lumpur kerana di bandar pun ada orang susah, miskin bandar,” kata Pengurus Besar Pemasaran dan Acara MG, Chloe H.B. Siao yang mengetuai jelajah terbabit.

Chloe H.B. Siao. Foto AFFAN FAUZI, 14 OKTOBER 2022.

Namun katanya, setelah bertemu pihak yang sepatutnya dan menjalankan tinjauan awal, nyata masih ramai dalam kalangan penduduk di pedalaman yang memerlukan bantuan untuk membantu kelangsungan hidup.

Kali ini, seramai 400 individu daripada golongan asnaf, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas diberikan wang zakat yang disumbangkan syarikat perkhidmatan kesihatan dan konsultansi, Advance Pact Sdn Bhd bernilai RM100 setiap seorang.

Hari pertama jelajah MG Prihatin bermula di Kampung Chebong yang mana 80 individu dan keluarga asnaf melibatkan penduduk Kampung Chebong/Selimbar, Kampung Air Hitam/Pasir Sia, Kampung Labu dan Kampung Merting/Jong Berlabuh menerima sumbangan wang zakat pada majlis ringkas di Masjid Kampung Chebong.

Sekitar Program CSR MG Prihatin di Masjid Kg Chebong, Tembeling Tengah, Jerantut, Pahang. Foto AFFAN FAUZI, 14 OKTOBER 2022.

Pada sebelah petang pula melibatkan sebanyak 92 keluarga asnaf dari Kampung Padang, Kampung Gol, Kampung Kuala Tahan Seberang dan Kampung Pagi menerima wang zakat yang disampaikan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Rozilan Salleh.

“Saya gembira lah dapat bantuan ni. Dulu dapat sumbangan barang sebab berlaku banjir,” kata Siti Halimah Star, 75.

Beliau yang juga merupakan seorang ibu tunggal mengakui sumbangan berbentuk wang zakat seperti itu sangat bermakna dan berharap ada pihak-pihak lain berbuat demikian pada masa depan.

Siti Halimah Star

Seterusnya, kru MG Prihatin dibawa lebih jauh ke pedalaman, meredah jalan raya tidak berturap dan berbatu ke Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling untuk menyampaikan sumbangan zakat kepada 50 lagi keluarga dari golongan asnaf, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas.

“Wan gembira, suka hati. Yelah, wan kan susah. Dapat bantuan ni, alhamdulillah. Syukur. Wan nak minta tu tidak tapi kalau orang nak bagi, wan terima,” kata seorang warga emas yang ditemui, Badariah Kumin.

Kata Badariah, 70, yang selesa membahasakan diri sebagai ‘wan’, beliau yang tinggal di Kampung Beneh tidak pernah menerima sebarang bentuk bantuan sebelum ini, justeru berharap agar lebih banyak pihak berbuat demikian.

Penerima sumbangan, Badariah Kumin ketika ditemubual pada Program CSR MG Prihatin di Masjid Kg Kuala Sat, Hulu Tembeling, Jerantut, Pahang. Foto AFFAN FAUZI, 14 OKTOBER 2022.

Hari berikutnya, MG Prihatin bersama Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Jerantut serta Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian meneruskan perjalanan ke Kampung Mat Daling, Hulu Tembeling bagi bertemu dan menyampaikan wang zakat kepada 25 keluarga terpilih.

Misi diteruskan ke Kampung Gusai dan Kampung Bantal dengan menaiki bot untuk menyampaikan sumbangan wang zakat kepada 50 lagi keluarga yang memerlukan.

“Penduduk kampung ni memang mengharap pendapatan daripada menoreh getah. Yang muda-muda bawa bot pelancong. Jadi terima kasih lah dengan sumbangan wang zakat ni,” kata seorang penduduk, Mohd Hairul Kamaruddin, 37.

Mohd Hairul Kamaruddin. Foto AFFAN FAUZI, 15 OKTOBER 2022.

Selesai menyampaikan amanah wang zakat di kawasan Hulu Tembeling, MG Prihatin bersama Rozilan seterusnya bergerak ke Galeri Mat Kilau di Pulau Tawar.

Kehadiran kami disambut mesra Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah bersama pemimpin setempat dan menyampaikan sumbangan wang zakat sumbangan Advance Pact Sdn Bhd kepada 60 keluarga asnaf di kawasan itu.

Sekitar Program CSR MG Prihatin di Galeri Mat Kilau, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Foto AFFAN FAUZI, 15 OKTOBER 2022.

Meski jumlah sumbangan yang disampaikan itu tidak seberapa, namun bagi mereka yang memerlukan ia besar ertinya, malah ada yang berulang kali mengucapkan terima kasih dan terharu dengan kehadiran MG Prihatin di kampung mereka.

Apa yang pasti, misi MG Prihatin ini tidak akan berjaya tanpa bantuan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Rozilan Salleh, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Jerantut serta Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian.

Dalam masa sama, MalaysiaGazette masih mengalu-alukan tajaan dan sumbangan daripada individu-individu dan syarikat korporat yang berhasrat menyertai MG Prihatin.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi pejabat MalaysiaGazette di talian 03-9054 6842. – MalaysiaGazette