Low Taek Jho@ Jho Low (kiri), Tan Sri Larry Low Hock Peng.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara kepada ahli perniagaan yang kini dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan bapanya, Larry Low kerana kesalahan menghina mahkamah.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Hayatul Akmal Abdul Aziz selepas mengeluarkan waran komital serta memerintahkan mereka membayar kos RM5,000 akibat tidak mematuhi dua perintah injunksi yang dikeluarkan baru-baru ini.

Untuk makluman, sebelum ini melalui saman yang dikemukakan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MBD) dan anak syarikatnya terhadap mereka serta empat yang lain telah memohon injuksi mendedahkan lokasi keberadaan serta aset kepada mahkamah. 

Mahkamah Tinggi membenarkan 1MDB dan anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Ltd yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memulakan prosiding penghinaan mahkamah membabitkan Jho Low serta bapanya pada 12 Ogos lepas.

1MDB dan sebuah anak syarikatnya memperoleh perintah injuksi daripada Mahkamah Tinggi untuk menghalang Jho Low melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia berjumlah AS$1.03 bilion (RM4.32 bilion).

Bapa Jho Low turut dihalang daripada mengalihkan, melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia berjumlah AS$401.5 juta (RM1.7 bilion).

1MDB dan empat anak syarikatnya, iaitu Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited, memfailkan saman AS$3.7837 bilion (RM15.9 bilion) terhadap Jho Low dan Larry Low.

Begitu juga kepada ibu Jho Low, Puan Sri Goh Gaik Ewe; kakak, May Lin; adik lelaki, Taek Szen serta rakan sekutunya, Eric Tan Kim Loong pada 7 Mei lepas. – MalaysiaGazette