MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengetatkan pemeriksaan terhadap kenderan perlumbaan bagi mengelak insiden mengorbankan nyawa pemandu di Litar Permotoran Terengganu pada Sabtu lalu berulang.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, pihaknya turut akan meningkatkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan setiap pelumba menitikberatkan aspek pemeriksaan teknikal kenderaan sebelum pertandingan.
Menurutnya, JPJ setiap masa tidak pernah memandang ringan perkara itu khususnya sukan permotoran jenis drift dan drag yang berbahaya dan berisiko berlaku kemalangan berbanding kenderaan motor biasa.
“Memang sekarang ini kita sudah ada kelulusan standard terhadap sukan drift atau drag termasuklah seperti yang berlaku di Terengganu itu kita akan kerjasama dengan polis untuk pastikan segala aspek pemeriksaan teknikal sebelum perlumbaan telah diambil kira.
“JPJ memang setiap masa perketatkan pemeriksaan khususnya terhadap kenderaan drift (drag) ini memang kita tak pernah ambil ringan pemanduan sebegitu yang sememangnya bahaya dalam mana-mana perlumbaan,” katanya.
Hadir sama Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia (APJM), Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff
Zailani berkata demikian selepas merasmikan Ulang Tahun Ke-20 Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia (APJM) di Tiang Dua, Ayer Molek di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas insiden kematian pelumba drag, Muhammad Hafez Jamal Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai Apeh Jamal, 40, pada Perlumbaan Battle of The King (BOTK) 2022 di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Terengganu, Sabtu lalu.
Mangsa yang memandu Mitsubishi Lancer Evo 7 hilang kawalan sebelum kenderaan dipandunya terbabas dan melanggar pokok.
ketika mangsa sedang mengambil bahagian dalam acara ujian masa individu pukul 11.35 pagi.
Dalam perkembangan lain, Zailani berkata, seramai 1,000 pemandu ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara akan mengikuti latihan pemanduan di APJM pada tahun depan.
“Kita telah jalinkan MoU (perjanjian persefahaman) dengan KKM yang mana 1,000 pemandu ambulans di seluruh negara akan melalui satu bentuk latihan atau teknik pemanduan yang lebih selamat dan berhemah.
“Ini supaya tidak akan berlaku kes-kes pemandu ambulans bawa pesakit, tapi mereka sendiri pula yang kemalangan,” katanya. – MalaysiaGazette.