Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap pada Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara 2022 di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 17 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Kerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bukan suatu perkara yang mudah.

Ia kerana ia perlu mendapat persetujuan daripada parti gabungan Perikatan Nasional (PN), kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menurut beliau, perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan.

Katanya, Pejuang merupakan parti dalam Gerakan Tanah Air (GTA) berhak untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang disukai.

“Pejuang adalah salah satu daripada parti yang telah pun ditubuhkan, maka mana-mana parti yang telahpun ditubuhkan mempunyai hak untuk bekerjasama dengan sesiapa pun.

“Kita dalam Bersatu bila Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan dia bersedia (kerjasama dengan Pejuang) bermakna dia perlu membawa dalam mesyuarat tertinggi.

“…kemudian kita kena membincangkan bersama dengan gabungan parti Perikatan Nasional…bukan mudah sahaja kata “yes”, kita bersetuju dengan itu, tak boleh..kerana kita mempunyai rakan-rakan dalam coalition parti,” kata Hamzah pada sidang media selepas Sambutan Hari Pendaftaran Negara yang ke-74 di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai perkembangan terkini kenyataan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN, sebelum ini yang menyatakan pihaknya sedang meneliti keputusan untuk bekerjasama dengan GTA.

Menurut Muhyiddin, perkara itu akan diteliti dengan lebih mendalam memandangkan ia tidak boleh diputuskan oleh beliau seorang selain melibatkan pimpinan daripada parti-parti komponen di dalam PN.

Dalam perkembangan lain, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, PN masih lagi meneliti secara mendalam mengenai pembahagian kerusi PRU-15.

Ujarnya, PN mempunyai konsep tertentu dalam menentukan calon meskipun ada yang menyifatkan PRU-15 sebagai ‘ibu  segala pilihan raya’.

“Ada orang kata, saya dengarlah, Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) ke apa…dia kata this time, this is the mother of all general election.

“Pada saya, perkara biasa sahaja, general election itu, mother tak mother ke, yang penting kita semua kena bersedia…bersedia tu adalah kerana nak menentukan bahawa the politcal landscape yang terdiri adalah sesuatu yang melambangkan majoriti pengundi-pengundi dalam negara.

“Jadi, kali ini sudah ada peningkatan dari segi pemikiran rakyat terhadap sesiapa yang mereka mahukan, ia bukan sahaja melambangkan dari segi warna parti itu tapi dia turut melambangkan dari segi kepimpinan yang ada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette