KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini merampas sebanyak 955 kotak minyak masak bersubsidi yang diseleweng hasil serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA).
Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, serahan pada 12 Oktober lalu itu membabitkan dua kes dengan jumlah sitaan beranggaran RM50,587.50.
“Hasil kejayaan Cawangan Risik Briged Tengah Cheras, kes pertama ini mereka berjaya menyita minyak masak bersubsidi tanpa lesen berjumlah RM10,625 di sebuah premis kediaman dekat Jalan Chow Kit,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Jelas Ariffin, tiga lelaki termasuk seorang warganegara asing yang berada di rumah berkenaan turut ditangkap.
Katanya, bagi kes kedua pula melibatkan sebanyak 705 kotak minyak masak bersubsidi yang dirampas berjumlah RM29,962.50 di sebuah premis dekat Taman Bamboo.
“PGA Cheras menangkap dua lelaki warga tempatan di tempat kejadian selepas menyita sebuah lori berserta tangki boleh ubah yang digunakan untuk menyimpan minyak masak,” ujarnya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pelaku mendapatkan sumber dari pelbagai negeri bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Modus operandi dipercayai untuk dijual kepada pihak industri yang cuba mendapatkan stok minyak masak bersubsidi bagi mengurangkan kos perniagaan.
Ariffin berkata, mereka dipercayai mengaut keuntungan dua kali ganda berbanding harga pasaran RM2.50 bagi sekilogram untuk minyak masak paket yang diberi subsidi oleh kerajaan.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki menyimpan barang kawalan tanpa lesen sah.
Kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak lebih RM5 juta jika ia pertubuhan perbadanan. – MalaysiaGazette