Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap kepada media selepas Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara 2022 di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 17 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Parti-parti politik dibenarkan untuk mengadakan aktiviti kempen walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menetapkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun aktiviti kempen seperti ceramah yang hendak diadakan perlulah mematuhi undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kata Menteri Dalam Negeri Interim, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Ceramah ini boleh berlaku bila-bila masa cuma perlu mengikut SOP,” katanya.

Menurut Hamzah, setiap perhimpunan yang diadakan juga perlu mendapat kelulusan dan permit daripada pihak polis.

“Negara ada undang-undang dan kita tahu bahawa rakyat sekarang ini sudah pun bijaksana,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-74 di sini hari ini .

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan sama ada parti politik dibenarkan mengadakan kempen termasuk ceramah sebelum SPR mengumumkan tarikh-tarikh penting PRU-15.

Mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan tarikh-tarikh PRU-15 dijadual diadakan pada Khamis ini susulan pembubaran Parlimen Penggal ke-14, oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu lepas. – MalaysiaGazette