Presiden Ikatan Anak Mersing (IAM), Muhammad Syukri Ibrahim

KUALA LUMPUR – Dua pihak hari ini menggesa agar UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengetengahkan calon muka baru yang terdiri daripada anak muda untuk bertanding di Parlimen Mersing pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) tidak lama lagi.

Menurut Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK) dan Majlis Belia Felcra Malaysia (MBFM) Felda Nitar 2, gesaan itu dilakukan memandangkan perubahan daripada segi demografik politik dan kecenderungan pengundi masa kini telah berubah.

“Perkara itu perlu dilakukan di seluruh negara termasuk di Parlimen Mersing, Johor bagi mengukuhkan lagi sokongan golongan muda kepada BN dan UMNO, serta membantu menyumbangkan idea segar dalam penggubalan dasar kerajaan peringkat negeri dan persekutuan.

“Selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022, saya terlanjur ke Mersing berjalan bersama keluarga dan ketika di sana sempat berbual dengan masyarakat di situ termasuk berhubung PRU15 kali ini,” kata Timbalan Presiden MPMMK, Haslihelmy DM Zulhasli.

Haslihelmy berkata, calon paling sesuai untuk diturunkan UMNO adalah Pemangku Ketua Pemuda UMNO, Tarmizi Hassan; Ketua Wanita UMNO, Malatimah dan Presiden Ikatan Anak Mersing (IAM), Muhammad Syukri Ibrahim.

“Mereka berpendapat Muhammad Syukri Ibrahim yang juga merupakan anak jati tempatan selayaknya diberi peluang kerana sikap ramah dan sering turun padang membantu rakyat dalam kawasan itu.

“Terpulang kepada pucuk pimpinan BN dan UMNO untuk memutuskannya, apa saya sampaikan sekadar berkongsi pengalaman berbual bersama penduduk Mersing ketika berjalan bersama keluarga di sana,” katanya.

Pengerusi MBFM Felda Nitar 2, Muhammad Sharizuan Shahrudin memberitahu, sudah tiba masanya Parlimen Mersing diwakili oleh anak muda yang berkaliber dan mempunyai daya kepimpinan yang kukuh.

“Ketokohan Muhammad Syukri Ibrahim (Presiden Ikatan Anak Mersing) sebagai pengganti paling tepat dan layak kerana pengalaman beliau sebagai Setiausaha Sulit Kanan Menteri serta pengalaman yang luas dalam bidang kepimpinan kerana telah aktif berpolitik sejak di kampus dengan menjawat Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar USM ketika menuntut disana,” jelas Muhammad Sharizuan.

Ahad lalu, penyandang kerusi Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, beliau bersedia memberi peluang kepada calon muka baharu untuk bertanding pada PRU15.

Ujar Abd Latiff, sudah tiba masa untuk beliau berundur memandangkan sudah hampir enam penggal bergelar wakil rakyat dan memegang pelbagai jawatan sama ada dalam kerajaan negeri atau persekutuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast