Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) ke-43 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa kontraktor tempatan yang berkelayakan akan mendapat peluang membangunkan projek-projek pembangunan negara jika Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat mentadbir kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.

Perdana Menteri berkata, dalam Bajet 2022 yang dibentangkan baru-baru ini sebanyak RM95 bilion diperuntukan untuk perbelanjaan pembangunan (DE).

Ia merupakan peruntukan tertinggi dalam sejarah merangkumi sebanyak 7,615 projek pembangunan.

Menurut beliau, Bajet 2023 turut menyediakan pelbagai inisiatif untuk golongan kontraktor seperti peruntukan sebanyak RM500 juta khusus kepada kontraktor kelas G1 hingga G4, antaranya bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan bagi jalan persekutuan, titi dan jambatan kecil, rumah ibadat serta infrastruktur yang rosak akibat banjir.

Bagi menyokong kontraktor Bumiputera, kerajaan juga akan menyediakan pembiayaan jangka pendek kepada kontraktor Bumiputera yang terlibat dalam bidang seperti elektrikal dan pembinaan melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPIKE) dengan dana sebanyak RM20 juta.

Manakala sebanyak RM50 juta nilai projek-projek kecil akan dikhususkan kepada kontraktor wanita kelas G1 hingga G4 menerusi inisiatif kontraktor wanita bagi menyokong penyertaan lebih ramai kontraktor wanita Bumiputera dalam perolehan kerajaan.

“Namun kesemua ini akan hanya dinikmati sekiranya bajet 2023 ini dibentangkan kembali dan diluluskan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15. Maknanya anda perlu memilih saya untuk kembali menerajui negara ini,” katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis perasmian Konvensyen Kontraktor Melayu 3.0 dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) kali keempat di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau sedar dalam suasana ekonomi yang begitu mencabar, tidak ramai kontraktor yang sanggup terlibat dalam projek- projek perumahan kos rendah yang kurang memberi pulangan, lebih-lebih lagi dalam keadaan harga barangan bahan binaan yang masih tidak menentu.

Namun keadaan keadaan ekonomi yang sudah memasuki fasa pemulihan dan beliau berharap PKMM akan mendapat manfaat termasuk pelaksanaan projek-projek infrastruktur baharu atau yang disambung semula selepas pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi sebelum ini.

”Saya percaya peruntukan ini bukan sahaja menjadi pelaburan jangka masa panjang untuk menghidupkan kembali pembangunan fizikal dan ekonomi, tetapi juga akan merancakkan semula pelaksanaan projek khususnya bagi kontraktor kecil dan sederhana.

”Saya berharap semua kontraktor yang terlibat dalam projek-projek kerajaan dapat menunjukkan prestasi yang terbaik daripada segi kualiti, produktiviti dan
profesionalisme serta menyiapkan projek mengikut waktu yang ditetapkan,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, sektor pembinaan negara mengalami kerugian lebih RM42 bilion sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020.

Sebanyak RM18 bilion adalah anggaran kerugian dalam tempoh PKP 3.0 yang bermula 1 Jun 2021.

Katanya, kesan daripada pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP, sektor pembinaan turut mengalami penurunan kadar pertumbuhan sebanyak 19.4 peratus pada 2020, manakala terus menurun kepada 10.4 peratus pada suku pertama 2021.

“Alhamdulillah, angka itu meningkat pada kadar 40.3 peratus pada suku kedua 2021 dan terus meningkat sehingga kini.

“Meskipun berdepan pelbagai kesukaran susulan pandemik Covid-19, saya amat berterima kasih kepada Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) yang sentiasa setia membantu kerajaan dalam melaksanakan projek infrastruktur terutama melibatkan kemudahan perumahan khusus untuk rakyat berpendapatan rendah,” katanya. – MalaysiaGazette