Prof Md Amin (tiga dari kiri) turut serta menanam pokok sempena program Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Bersama Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), “One Student, One Tree”.

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertindak proaktif melestarikan alam menerusi Program Penghijauan Malaysia Kempen Penamaan 100 juta pokok.

Program itu dijalankan bersama pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) One Student, One Tree bagi meningkatkan kawasan hijau di dalam kampus.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, program tersebut dilaksanakan bagi menyokong program yang dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Katanya, program itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar  terhadap kepentingan kawasan berhutan dan memupuk semangat cintakan hutan kepada segenap lapisan masyarakat.

Menurut beliau, setiap mahasiswa yang terpilih menanam satu pokok bermula seawal semester satu akan memantau tumbesaran pokok tersebut sepanjang mereka di IPT melalui aplikasi peranti mudah alih “Penghijauan Malaysia”.

Pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Azmi Mohd Zin, menyampaikan taklimat mengenai proses penanaman, cara penjagaan dan penggunaan aplikasi peranti mudah alih “Penghijauan Malaysia” sebelum proses penanaman dilakukan.

Antara pelajar baharu UPSI Yang menyertai program.

Tambah Md Amin, UPSI menerima sumbangan sebanyak 380 batang pokok Penaga Lilin dan Pokok Rhu daripada Jabatan Hutan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak untuk fasa pertama.

Penanaman awal sebanyak 380 pokok dilakukan oleh mahasiswa baharu ambilan Oktober 2022 di sekitar kawasan Padang Kawad dan Padang Istiadat, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI.

Md Amin berkata, kempen bertemakan “Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita” bertujuan memupuk semangat cintakan alam semula jadi dalam kalangan mahasiswa melalui penanaman pelbagai jenis pokok sekali gus menyokong komitmen negara mengekalkan litupan kawasan berhutan di Malaysia.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Dr. Norkhalid Salimin berharap mahasiswa UPSI dapat menyahut baik program ini dan amanah menjaga pokok dengan sebaiknya sekali gus dapat menyumbang ke arah kejayaan Agenda Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok. – MalaysiaGazette