Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media khas Gerakan Tanah Air (GTA) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 19 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad menepis dakwaan pelbagai pihak bahawa beliau tidak layak untuk mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi kerana faktor usia.

Mahathir menjelaskan beliau masih layak untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi meskipun sudah berusia 97 tahun.

“Saya ini nampak nyanyuk ke? Saya boleh jawab soalan kamu dan wartawan lain.

“Memanglah orang yang berusia 97 tahun biasanya nyanyuk tapi adakah anda nampak saya nyanyuk,” jawab Mahathir dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), hari ini.

Dalam pada itu, Mahathir memberitahu, GTA akan mengumumkan senarai calonnya, minggu depan.

Jelas Mahathir, pengumuman itu akan dibuat sebelum proses penamaan calon mengambil tempat.

“Kita akan buat pengumuman minggu depan,” katanya.

Sementara itu, Mahathir memberitahu, pihaknya masih dalam proses akhir untuk memuktamadkan jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh gerakan itu.

“Kita belum buat keputusan lagi, sudah dibincangkan tapi belum dimuktamadkan. Kemudian (jumlah kerusi) kita akan beritahu,” katanya lagi.

GTA akan menggunakan lambang Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai logo utamanya disebabkan pendaftaran gabungan itu masih belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Gabungan menghantar borang permohonan untuk mendaftarkan GTA sebagai satu blok politik pada 6 September lalu. – MalaysiaGazette