Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat antarabangsa ke-62 malam ini menyaksikan penyertaan 36 peserta dari 28 negara.

KUALA LUMPUR – Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat Antarabangsa (MTHQA) akan berlangsung selama enam hari bermula malam ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Tilawah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu turut menyaksikan penyertaan dua negara iaitu Afghanistan dari Asia Selatan dan Jordan Asia Barat.

Sebelum ini, dua negara itu hanya menghantar peserta untuk hafazan tetapi kali ini mereka menyertai kategori tilawah yang akan bersaing dengan 34 peserta dari 26 negara.

Seramai 36 peserta dari 28 negara termasuk dua negara itu berjaya melepasi sesi saringan dan akan menyertai MTHQA kali ke-62 malam ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah perkenan untuk berangkat serta menyempurnakan penyampaian hadiah kepada johan qari dan qariah pada majlis penutup 24 Oktober ini.

Malaysia menjadi tuan rumah setiap tahun menganjurkan MTHQA dan pernah menerima pengiktirafan bagi kategori Penganjuran Program Al-Quran Terbaik 2016 oleh Kuwait International Prize of Holy Quran.

Signifikan penganjuran MTHQA ini adalah untuk memartabatkan al-Quran dipersada dunia, selain mengeratkan ukhuwah antara umat Islam.

Namun sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, penganjuran MTHQA juga turut terjejas seketika demi untuk memelihara keselamatan dan mengawal penularan wabak itu.

Penganjuran MTHQA melibatkan dua kategori iaitu pertandingan tilawah al-Quran secara tartil dan pertandingan hafazan al-Quran 30 juzuk tetapi kali ini melibatkan kategori pertandingan tilawah al-Quran sahaja.

“Jawatankuasa Induk MTHQA ke-62 sebulat suara bersetuju supaya peserta yang akan menyertai MTHQA kali ini perlu melalui sesi saringan yang telah selesai dijalankan pada 1 hingga 7 Julai lalu secara dalam talian melibatkan penyertaan 64 peserta daripada 40 negara.

“Bagaimanapun, hasil penilaian oleh barisan jemaah hakim berpengalaman dan memiliki ilmu yang luas dalam bidang al-Quran, seramai 36 peserta dari 28 negara berjaya melepasi sesi saringan dan akan menyertai MTHQA,” kata jurucakap JAKIM kepada MalaysiaGazette hari ini.

Penghakiman MTHQA akan dinilai oleh 16 barisan jemaah hakim dari dalam dan luar negara melibatkan mereka yang mahir serta alim dalam bidang al-quran.

Johan bagi kategori qari dan qariah akan menerima hadiah piala dan sijil penghargaan beserta wang tunai, manakala tempat kedua dan ketiga, piala, sijil penghargaan dan wang tunai dari kerajaan Malaysia.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir di Dewan Pleno KLCC, selainkan disiarkan secara langsung menerusi RTM1 bermula pukul 8.45 malam hingga 11.30 malam.

Penonton juga boleh menyaksikan MTHQA ke-62 ini melalui saluran media sosial rasmi Jakim seperti TV Jakim, Facebook dan Tiktok Jakim serta lintas langsung beberapa radio RTM seperti Ai FM (Mandarin), Traxx FM (Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast