KUALA LUMPUR – PKR dilihat mustahil untuk meninggalkan rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) semata-mata untuk menubuhkan kerajaan campuran bersama UMNO.
Menurut Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dakwaan itu agak mustahil dihadam kerana matlamat gabungan itu adalah untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.
“PH bergerak solid dalam pasukan kami. Tiada perbincangan dengan UMNO. Kami masuk PRU untuk menang sebagai PH.
“Ya, (mustahil untuk PKR meninggalkan pasukan bersama DAP dan Amanah dalam PH),” katanya memetik laporan Utusan Malaysia Online hari ini.
Sebelum ini, timbul desas desus PKR akan menyertai jajaran baru yang aakn dibuat bersama-sama UMNO pasca PRU-15 bagi membentuk kerajaan campuran.
Malah Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan turut mendakw ada perbincangan sulit antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ia bagaimanapun dinafikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang menyifatkan ia sekadar khabar angin menjelang pilihan raya. – MalaysiaGazette