Azmi (tengah) menyampaikan writ Kepada Pegawai Pengurus PRU15 Johor di Hotel Holiday Inn malam tadi.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri telah dimaklumkan untuk membezakan program rasmi kerajaan dan kempen politik sepanjang tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bulan depan.

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Azmi Rohani berkata, perkara itu telah dimaklumkannya melalui mesyuarat Exco yang lalu.

Justeru, katanya, semua pihak perlu menghormati ketetapan ditetapkan pihak berkuasa sepanjang tempoh berkenaan selain harus memastikan tidak melakukan sebarang salah laku.

“Pilihan raya kali ini berbeza di mana ia dilaksanakan dalam situasi kerajaan negeri masih beroperasi seperti biasa kerana pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak berlaku serentak seperti sebelum ini.

“Secara pentadbiran, mereka telah dimaklumkan dalam mesyuarat Exco yang lepas iaitu tidak boleh berkempen dengan menggunakan imej dan lambang parti ketika program rasmi kerajaan negeri yang melibatkan pegawai-pegawai kerajaan. Perkara ini mereka telah sedia maklum dan saya percaya mereka bijak mengenai hal ini.

“Jadi, mereka perlu bezakan mana melibatkan kempen politik dan urusan kerajaan, kedua-dua perkara itu tidak boleh dicampur adukkan,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Writ Kepada Pegawai Pengurus PRU15 Johor dan Penyampaian Amanat  di sini malam tadi.

Bagaimanapun kata Azmi, pemantauan yang dibuat adalah lebih menjurus kepada penggunaan lambang dan logo parti berbanding ucapan yang dibuat mana-mana individu.

Ini kerana menurut beliau, berkempen dalam ucapan agak sukar untuk dikenal pasti secara terus ekoran  ia bergantung kepada persepsi masing-masing yang mendengarnya.

Sebaliknya bentuk fizikal seperti lambang akan diberi perhatian.-MalaysiaGazette