KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahmad Faizal berkata, sebagai anak jati Tambun beliau mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan kerusi tersebut.
“Dengan penuh rendah hati, saya ingin mengumumkan bahawa akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15.
“Saya dan rakan-rakan sukarelawan serta pendokong Perikatan Nasional Tambun adalah merupakan anak jati Parlimen Tambun.
“Maka, kami beranggapan adalah menjadi satu tanggungjawab dan kewajipan untuk terus kekal berkhidmat di halaman kami sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Ahmad Faizal mengalu-alukan mana-mana individu dan parti untuk bertanding di parlimen tersebut.
Bagaimanapun beliau berharap kempen yang dijalankan akan berlangsung secara telus dan akan memberi manfaat kepada penduduk Tambun.
“Atas prinsip dan semangat Demokrasi, saya turut mengalu-alukan mana-mana individu yang berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun.
“Mudah-mudahan, kempen pada pilihan raya kali ini berjalan dengan telus dan adil sekaligus, memberi manfaat buat para pengundi di Tambun serta seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Ahmad Faizal yang mewakili Perikatan Nasional akan bertembung dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar telah mengumumkan akan bertanding di kawasan tersebut malam tadi sementara Barisan Nasional masih lagi senyap.
Pada PRU14 lepas, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menang dengan majoriti 5,320 undi dalam pertembungan tiga penjuru menewaskan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (BN) dan Ibrahim Zakaria (Pas).
Ahmad Faizal mendapat 38,661 undi, Ahmad Husni (33,341) dan Muhamad Zulkifli (14,948).
Sejumlah 66.32 peratus pengundi di parlimen itu adalah Melayu, Cina (20.22 peratus), India (11.42 peratus) dan Orang Asli (1.08 peratus). – MalaysiaGazette