JOHOR BAHRU – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) memberi peluang kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang akan memimpin teraju kepimpinan negara selepas ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri, Mohd Hairi Mad Shah mengingatkan rakyat membuat pilihan bijak dan memilih parti yang benar-benar mampu menguruskan negara dan rakyat.
Katanya, kini sudah mula kedengaran pelbagai ceramah dan juga menabur janji daripada parti-parti politik dalam usaha meyakinkan rakyat khususnya pengundi dengan tawaran masing-masing termasuklah janji palsu.
“Sudah mula ceramah-ceramah dari parti-parti di kawasan masing-masing. Dengar boleh tapi fikir semula..ceramah menghasut dan janji-janji mustahil harus kita tolak.. manisfesto bukan kitab suci. PH (Pakatan Harapan) kata!” ujarnya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Jelas Mohd Hairi, rakyat masih mempunyai ruang untuk memperbetulkan kesilapan lalu dengan membuat pilihan yang tepat demi kelangsungan kejayaan negara yang tergendala seketika sebelum ini setelah BN tewas pada PRU-14 yang lalu.
“Kita betulkan kesilapan dari kesilapan. Insya-Allah penghujungnya nanti adalah untuk rakyat dan negara,” katanya.-MalaysiaGazette