Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – INCEIF University mengumumkan pelantikan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus sebagai Canselor universiti itu, menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang menjadi Canselor pertama sejak 2009.

Ia turut melantik Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar sebagai Pro-Canselor.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF Prof Datuk Dr Azmi Omar berkata, pelantikan kedua-dua tokoh ini bakal mengukuhkan lagi kedudukan INCEIF dalam usaha berterusan untuk membentuk serta membangunkan bakat-bakat baharu dalam industri kewangan Islam dan menjadi pelopor kepada pelbagai cabang lain yang berkaitan.

“Dalam tempoh perubahan yang pesat dan cabaran dalam pendidikan tinggi, dalam persekitaran dunia yang mahu menjadi lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan, INCEIF bersedia untuk meraih manfaat daripada gabungan pengalaman mereka dalam penggubalan dasar, kewangan dan pandangan Syariah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Shamsiah dilantik sebagai Gabenor BNM berkuat kuasa pada 1 Julai 2018. Beliau juga merupakan Ahli Majlis bagi Islamic Financial Services Board (IFSB) dan Ahli kepada Lembaga Pengelola, International Islamic Liquidity Management Corporation.

Mohd Daud Bakar

Mohd Daud adalah Pengerusi Majlis Penasihat Shariah bagi BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Beliau juga merupakan ahli lembaga Shariah bagi institusi dan organisasi kewangan antarabangsa seperti Amundi Asset Management (France), Bank of London dan Timur Tengah, Dow Jones Islamic Market Index (New York), Morgan Stanley (Dubai) dan Sedco Capital (Arab Saudi). – BERNAMA