KUANTAN – Seramai 313 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan telah berjaya diselamatkan dari Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand oleh Wisma Putra.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, sejumlah 255 orang daripada mereka sudah dihantar pulang manakala baki 58 lagi masih ditahan di depoh tahanan imigresen negara terlibat.
“Kesemua 58 lagi mereka sedang menunggu pelepasan daripada pihak berkuasa negara berkenaan untuk dibawa pulang ke Malaysia.
“Wisma Putra melalui perwakilan Malaysia dan agensi-agensi kerajaan negara-negara berkenaan akan terus bekerjasama dan menggiatkan usaha bagi menangani isu sindiket jenayah ini
“Kita akan cuba selamatkan semua. Tidak ada seorang pun kita akan biarkan mereka disana,” katanya ketika ditemui di Kuantan, pada Ahad sempena program sambutan Deepavali.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata Wisma Putra akan berusaha menjejaki rakyat Malaysia yang jadi mangsa sindiket tawaran kerja di luar negara untuk dibawa pulang ke tanah air.
“Setakat ini laporan mengenai kehilangan rakyat Malaysia di beberapa negara seperti Kemboja, Loas, Thailand dan Myanmar semakin berkurangan, namun usaha masih diteruskan bagi memastikan tiada rakyat negara ini ditahan oleh pihak berkuasa negara berkuasa berkaitan.
“Saya boleh katakan laporan itu kehilangan semakin sedikit dan berkurangan.
“Sekarang ini, dalam tempoh seminggu kita tidak mendengar sebarang laporan baharu.” katanya.
Walaupun pihaknya tidak mempunyai data yang tepat namun beliau yakin angka mangsa terbabit semakin berkurangan serta berharap tiada lagi mangsa yang terjebak dengan sindiket tersebut. – MalaysiaGazette
















