Dua warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu di sekitar perairan Tabawan-Kunak, semalam.

LAHAD DATU – Dua warga asing yang melakukan aktiviti bom ikan di sekitar perairan Tabawan-Kunak berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu, semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi dalam satu kenyataan berkata, pihaknya yang melakukan rondaan rutin sebelum bot peronda Maritim Malaysia mengesan pergerakan mencurigakan sebuah pam bot kira-kira jam 4.00 petang semalam.

Katanya, hasil maklumat perisikan dan aduan awam, sebuah pam bot tidak bernombor bersama muatan berisi ikan pelbagai berjaya ditahan di lokasi sekitar 1.7 batu nautika Utara Kampung Pangi, Kunak.

Ikan-ikan yang ditangkap setelah dibom.

“Hasil pemeriksaan ke atas ikan-ikan yang ditangkap dipercayai telah dibom. Turut dijumpai ialah kompresor yang dipercayai digunakan untuk menyelam bagi memasang bom di dasar laut.

“Namun begitu, tiada bahan letupan dijumpai kerana suspek bertindak membuang bahan letupan ke laut apabila bot Maritim Malaysia cuba menghampiri mereka.

“Salah seorang suspek juga bertindak agresif ke atas anggota Maritim Malaysia yang menjalankan tugas bagi mengelak daripada ditahan,” katanya.

Barang-barang yang dijumpai hasil pemeriksaan lanjut Maritim Malaysia ke atas bot warga asing

Tambah Mohd Rizam, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot tersebut menjumpai paket lutsinar berisi hablur kristal yang dipercayai adalah syabu seberat 0.1 gram.

Menurutnya, pam bot dan kedua-dua suspek yang berusia 35 dan 49 ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Lahad Datu dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes dadah akan diserahkan kepada Narkotik Polis IPD Kunak dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Beliau berkata, Zon Maritim Lahad Datu akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar pulau di perairan Lahad Datu.

“Ini bukan kali pertama aktiviti bom ikan ini berlaku. Banyak aduan awam telah diterima mengenai aktiviti ini.

“Aktiviti bom ikan perlu dibanteras kerana merosakkan ekosistem laut. Banyak ikan-ikan yang mati dan terumbu yang rosak akibat daripada bom yang diletupkan,” tegas Mohd Rizam. – MalaysiaGazette