Home Politik Gerakan P.Pinang intai kerusi Parlimen Bayan Baru

Gerakan P.Pinang intai kerusi Parlimen Bayan Baru

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang dijangka bertanding lima kerusi Parlimen di  negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Antara kerusi yang dijangka menjadi milik calon daripada parti berkenaan adalah Parlimen Tanjong, Jelutong, Bukit Bendera, Batu Kawan serta Bayan Baru.

Pengerusi Gerakan negeri, Oh Tong Keong berkata, pembahagian kerusi Parlimen bagi gabungan PN khususnya membabitkan Pulau Pinang hampir selesai dan Gerakan dijangka mendapat kerusi lebih berbanding kerusi tradisi sebelum ini.

Tong Keong berkata, pembahagian kerusi kepada Gerakan bagi PRU15 ini menonjolkan sedikit perbezaan susulan parti tersebut merupakan gabungan baharu dalam Perikatan Nasional (PN).

“Kerusi tradisi Gerakan tandingan dahulu ketika bersama Barisan Nasional (BN) masih kekal milik kita memandangkan kebanyakan pengundi kawasan berkenaan terdiri daripada pengundi Cina.

“Namun, sejak Gerakan keluar daripada BN kita tempatkan penyelaras di kawasan-kawasan tertentu selain kerusi tradisi jadi kita harap PN beri peluang untuk bertanding di kawasan baharu.

“Perbincangan mengenai kerusi baharu itu sudah diadakan menerusi beberapa mesyuarat antara parti gabungan PN dan kita jangkakan keputusan itu akan diumumkan Pengerusi PN dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pejabat Gerakan negeri di sini.

Untuk makluman, kerusi Parlimen Bayan Baru merupakan kerusi tradisi MCA ketika Gerakan berada dalam gabungan BN.

Mengulas lanjut Tong Keong berkata, meskipun Parlimen Tanjong didakwa kubu kuat DAP namun Gerakan akan tetap menempatkan calon di kerusi tersebut.

“Kita ada sentimen di Parlimen Tanjong kerana ia merupakan kerusi yang ditandingi mendiang Tun Dr Lim Chong Eu yang merupakan pengasas Parti Gerakan.

“Hampir 40 tahun kerusi itu dimenangi DAP hingga dilabelkan ia kubu kuat DAP tapi kami akan terus berentap serta berusaha mendapatkan semula kerusi tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette