Gambar hiasan

AMPANG – Polis menahan tujuh warga asing berusia antara 23 hingga 34 ekoran kejadian merusuh kerana sebentuk cincin di Kampung Tasek Permai Ampang, semalam.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, wanita warga asing bersama suami dan abang iparnya ke rumah keluarga mereka di Ampang untuk bertanya mengenai cincin miliknya.

Bagaimanapun, telah berlaku perselisihan faham sehingga tercetusnya pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dihantar ke lokasi kejadian susulan maklumat yang diperoleh.

Katanya, hasil siasatan mendapati punca rusuhan adalah perselisihan faham dalam kalangan keluarga berkaitan penggadaian sebentuk cincin yang dihadiahkan oleh salah seorang ahli keluarga.

“Kesemua suspek telah ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya,” katanya. -MalaysiaGazette