MCW akta pendanaan politik GLC komisen judi

KUALA LUMPUR – Badan Pemerhati Rasuah (MCW) menyarankan agar larangan membawa masuk telefon bimbit ke tempat mengundi dikuatkuasakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menguatkuasakan undang-undang berkaitan kerana telefon bimbit dikhuatiri menjadi alat membolehkan rasuah berlaku dan melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Menurut badan itu, telefon bimbit tidak boleh dibawa masuk ke tempat mengundi kerana dibimbangi segelintir akan merakam gambar kertas undi bagi menuntut bayaran daripada parti yang diundi sekaligus menjurus kepada perbuatan rasuah.

“Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menetapkan membawa keluar kertas undi dari bilik mengundi adalah satu kesalahan.

“Justeru, foto kertas undi telah membawa dua kesalahan besar dalam sistem pilihan raya di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 20 Oktober lalu, Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan agar SPR menguatkuasakan larangan membawa telefon bimbit semasa mengundi.

MCW menambah, individu yang membawa telefon bimbit ke pusat pengundian perlu meninggalkannya di luar dan boleh mengambilnya semula selepas selesai mengundi.

“Yang lebih baik ialah tinggalkan telefon bimbit di rumah atau kenderaan dan jangan bawa ke tempat mengundi,” jelasnya.

MCW turut mencadangkan SPR untuk menyediakan notis peringatan berkenaan hal ini secara mencukupi dan menyediakan sistem penyimpanan telefon bimbit yang selamat di setiap tempat mengundi.

“Pemerhati pertubuhan bukan kerajaan tempatan dari MCW akan memantau perkara ini dengan teliti semasa hari pengundian nanti,” katanya. – MalaysiaGazette