Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak menolak desas desus beliau akan bertanding di Parlimen Jerantut sempena Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), kelak.

Memetik laporan Malaysiakini, Tuan Ibrahim menyerahkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin dan pucuk pimpinan Pas tentang di mana beliau akan bertanding.

“Saya serahkan kepada parti. Insya-Allah satu majlis pengisytiharan akan dibuat menjelang (hari) penamaan calon.

“Watikah (calon) PN (Perikatan Nasional) akan diputuskan oleh pengerusi dan jawatankuasa PN negeri (Pahang) nanti,” katanya.

Semalam, timbul deas-desus mantan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu akan bertanding di Jerantut.

Bagaimanapun, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menolak dakwaan tersebut.

“Itu (hanya) desas desus,” jelasnya dalam satu majlis di Bentong semalam.

Tuan Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Kubang Kerian pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) pada 2018 dengan majoriti 19,369 undi.

Beliau yang menjadi calon buat pertama kali di kawasan itu memperoleh 35,620 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani yang mendapat 16,251 undi dan calon PKR, Datuk Dr Abdul Halim Yusof dengan 11,557 undi.

Untuk rekod, Tuan Ibrahim pernah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Jengka pada Pilihan Raya Umum ke 10 (PRU10). – MalaysiaGazette