Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia memulakan urus niaga pada minggu ini lebih tinggi apabila Wall Street mempamerkan kenaikan semalaman yang ketara, dirangsang oleh harapan agar kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat diperlahankan selepas negara itu mencatatkan data indeks pengurus pembelian (PMI) yang lembap.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 2.21 mata untuk mencapai paras 1,448.63 selepas 13 minit diniagakan, berbanding 1,446.42 pada penutupan Jumaat minggu lepas.

Indeks utama itu dibuka tinggi 2.72 mata pada 1,449.14.

Di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi 253 berbalas 134 manakala 249 kaunter tidak berubah, 1,716 tidak diniagakan dan 12 lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 280.61 juta unit bernilai RM119.85 juta.

Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka mengadakan mesyuaratnya minggu depan dengan pelabur berharap bank pusat akan membayangkan rancangan untuk memperlahankan kenaikan kadar bermula pada bulan Disember.

Prestasi semalaman di Wall Street menyaksikan Dow naik 1.3 peratus walaupun PMI pembuatan AS jatuh kepada 49.9 bulan ini, kata Malacca Securities Sdn Bhd.

Walau bagaimanapun, ia berpendapat pasaran domestik seharusnya kekal dalam mod berhati-hati terhadap kebimbangan berterusan akan kemungkinan kemelesetan dalam ekonomi utama, yang mungkin mengehadkan potensi peningkatan dalam jangka masa terdekat.

”Pelabur mungkin berpihak kepada sektor teknologi memandangkan Nasdaq kini bergerak ke arah paras 11,000.

”Aktiviti memburu saham murah dijangka muncul dalam kaunter tenaga dan perladangan.

“Selain itu, kami menyokong saham perbankan dan pengguna yang kukuh di sebalik ciri-ciri defensif mereka,” kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank naik tujuh sen kepada RM8.73, Axiata meningkat enam sen menjadi RM2.66, manakala Press Metal dan Inari masing-masing mengembang empat sen kepada RM4.44 dan RM2.42.

CIMB pula menokok tiga sen kepada RM5.56 dan Digi naik dua sen pada RM3.59.

Bagi saham aktif, Eduspec, Serba Dinamik dan Impiana Hotels tidak berubah, masing-masing mencatatkan dua sen, 2.5 sen dan dua sen.

Sementara itu, Advance Synergy dan Vinvest naik setengah sen masing-masing kepada tujuh sen dan 22.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 32.92 mata menjadi 10,253.82, FBM 70 meraih 101.18 mata kepada 12,129.81 dan Indeks FBMT 100 lebih tinggi 30.99 mata kepada 10,001.45.

Indeks FBM Emas Syariah pula memperoleh 48.26 mata kepada 10,245.66 dan FBM ACE menokok 29.21 mata kepada 4,830.48.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 10.90 mata kepada 16,521.98, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.37 mata menjadi 176.13, dan Indeks Perladangan naik 1.10 mata kepada 6,808.37 manakala Indeks Tenaga lebih tinggi 3.13 mata kepada 682.68. – BERNAMA