Penerima sumbangan Simpan SSPN Prime Kawasan Kuala Nerus bergambar bersama Dr Apli Yusoff, Pengerusi PTPTN.

KUALA LUMPUR – Seramai 17,800 orang pelajar asnaf di 178 kawasan terpilih menerima sumbangan di bawah Program Kembara Keluarga Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2022.

Program di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bertujuan membantu pelajar asnaf dari aspek pendidikan dan galakan awal mereka memulakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, program dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) melibatkan sumbangan dalam bentuk akaun simpanan SSPN Prime dengan peruntukan berjumlah RM1.78 juta.

Dr. Noraini Ahmad menyampaikan replika kad Simpan SSPN Prime kepada murid KEMAS sebagai penerima Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Peringkat Negeri Melaka

Katanya, Program Kembara Keluarga Simpan SSPM 2022 peringkat negeri Terengganu melibatkan lapan kawasan dengan jumlah sumbangan sebanyak RM80,000 dan setiap kawasan diperuntukkan sebanyak RM10,000.

“Seramai 800 orang pelajar asnaf menerima sumbangan akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM100 seorang,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Noraini melancarkan Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022 sempena Program KPT Prihatin Keluarga Malaysia di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 8 September lalu.

Peyerahan replika cek Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Peringkat Negeri Johor berjumlah RM260,000 kepada Timbalan Pengarah Kemas Negeri Johor, Wan Assim Wan Sheikh.

Menurutnya, program berkenaan dapat memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia dalam perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi.

Tambah Noraini, Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022 telah dilaksanakan di empat negeri lain iaitu di Peringkat Negeri Sabah, Melaka, Johor dan Pulau Pinang.

“KPT dan PTPTN akan berkembara ke negeri-negeri lain bagi melaksanakan program ini dan mendekati masyarakat setempat bagi membudayakan penabungan,” ujarnya. – MalaysiaGazette