Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke (tengah) bersorak bersama barisan calon yang akan bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 26 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – DAP menamakan dua calon Melayu untuk bertanding dua kerusi Parlimen di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Kedua-dua calon tersebut adalah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Young Syefura Othman atau lebih dikenali sebagai Rara dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, dua lagi nama yang turut ditampilkan adalah penyandang kerusi DUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong dan penyandang kerusi DUN Teras, Chow Yu Hui.

Young Syefura akan bertanding di kerusi Parlimen Bentong manakala Tengku Zulpuri akan beradu nasib di kerusi Parlimen Lipis yang merupakan kubu kuat UMNO.

“Pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) telah pun memutuskan untuk meletakkan Tengku Zulpuri di kerusi Parlimen Lipis untuk berlawan di kubu kuat UMNO.

“Kali ini kita diberikan tanggungjawab untuk bertanding kerusi ini dan satu langkah yang penting untuk DAP menerokai kawasan UMNO dan kita meletakkan calon yang kuat daripada DAP sebagai usaha untuk memenangi kerusi Parlimen tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas pengumuman calon DAP bagi negeri Pahang untuk PRU-15 di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini.

Anthony berkata, Tengku Zulpuri juga diberikan ruang untuk bertanding kerusi DUN di negeri berkenaan pada PRU kali ini dan beliau merupakan satu-satunya calon parti itu yang akan bertanding dua kerusi mewakili DAP di Pahang.

Katanya, DAP memutuskan perkara itu kerana Tengku Zulpuri akan bertanding di kerusi yang kedudukannya agak sukar.

Bagaimanapun, Anthony tidak menyatakan kerusi DUN yang akan ditandingi Tengku Zulpuri di peringkat negeri dan hanya akan memaklumkan mengenai perkara itu pada minggu depan.

Mengulas pencalonan Young Syefura pula, Anthony berkata, PH mengambil langkah berani meletakkan di kerusi Parlimen berkenaan bertdasarkan keputusan startegik yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

Ujarnya, ia adalah bagi memastikan hala tuju dan masa depan DAP ke arah kepalbagaian kaum dan hala tuju parti itu terus berkembang.

“DAP pusat telah memberi keyakinan penuh kepada calon wanita Melayu Young Syfura Othman atau Rara. Kesemua calon yang ditonjolkan bukanlah muka baharu tetapi mereka hanya baharu di peringkat Parlimen.

“Jadi, ini merupakan satu strategi yang dipertimbangkan oleh DAP, kita letakkan muka baharu tetapi dengan pengalaman,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast