KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mendakwa Majlis Peguam tidak mempunyai integriti apabila mempersoalkan kesaksamaan Pasukan Petugas Khas yang menyiasat buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Beliau berkata, setelah menolak jemputan untuk menyertai siasatan terhadap kandungan buku Tommy, Majlis Peguam kini membangkitkan pula persoalan itu.
“Sepatutnya, sertailah penyiasatan apabila dijemput untuk tentukan ‘kesaksamaan’ itu berlaku.
“Bukannya apabila sudah selesai penyiasatan, baru kononnya nak tegakkan ‘kesaksamaan’! Jelas sangat Majlis Peguam tiada integriti!” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah dalam satu kenyataan menyuarakan kebimbangan berhubung penyahsulitan laporan Pasukan Petugas Khas yang menyiasat dakwaan salah laku dalam buku Tommy.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Shahrir secara sinis mencadangkan agar Majlis Peguam menganjurkan ‘perarakan untuk kesaksamaan’ bagi mempertahankan keegoan dan keangkuhan Tommy.
Sebelum ini, katanya, badan tersebut pernah menganjurkan ‘perarakan untuk keadilan’ bagi mempertahankan Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali. – MalaysiaGazette