Pas dan Bersatu.- Gambar hiasan.

GEORGE TOWN –  Keputusan untuk mempertaruhkan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai calon kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) belum dibincangkan dengan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Sumber kata, perbincangan itu hanya dibuat membabitkan parti Bersatu dan ia bukan satu keputusan muktamad.

“Memang hasil perbincangan semalam Bersatu putuskan untuk calonkan Wan Saiful di Tasek Gelugor dan ia mendapat persetujuan daripada ketua bahagian serta ahli di sini.

“Tetapi ia belum dimuktamadkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan perbincangan dengan Pas dijangka akan diadakan hari ini.

“Ikutkan kerusi Tasek Gelugor selayaknya dapat kepada calon Bersatu kerana penyandangnya daripada parti itu namun Pas mahukan kerusi tersebut atas alasan penyandang menang atas tiket UMNO pada PRU14,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Wan Saiful bertanding di Tasek Gelugor?

Tambah sumber itu, pembahagian kerusi membabitkan PN di Pulau Pinang berdepan kesukaran disebabkan beberapa kerusi menjadi perebutan antara parti komponen.

“Pembahagian untuk Gerakan boleh dikatakan selesai manakala bagi Pas dan Bersatu perbincangan kerusi itu masih berjalan sehingga hari ini.

“Ini kerana Bersatu dan Pas adalah gabungan baharu dan ada beberapa kerusi yang dua-dua parti berebut kerusi di kawasan tertentu atas alasan mampu tawan serta ia kerusi tradisi parti berkenaan.

“13 kerusi Parlimen di sini sudah diagihkan iaitu lima milik Gerakan dan masing-masing empat milik Bersatu serta Pas tetapi semuanya belum dimuktamadkan susulan mereka (parti) buat konsep dapat satu kerusi yang dijangka mampu menang kena korbankan kerusi lain,” katanya.

MalaysiaGazette difahamkan empat kerusi yang diagihkan untuk Pas adalah Parlimen Kepala Batas, Permatang Pauh, Bukit Mertajam serta Balik Pulau.

Bagi Bersatu, Tasek Gelugor, Nibong Tebal, Bagan serta Bukit Gelugor manakala lima kerusi Gerakan pula, Parlimen Bayan Baru, Bukit Bendera, Jelutong, Batu Kawan serta Tanjong. – MalaysiaGazette