Seorang pesara tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas empat pertuduhan menghantar pesanan WhatsApp berunsur seksual terhadap anak tirinya berusia 14 tahun sejak lima bulan lalu.

MELAKA – Seorang pesara tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas empat pertuduhan menghantar pesanan WhatsApp berunsur seksual terhadap anak tirinya berusia 14 tahun sejak lima bulan lalu.

Warga emas berusia 60 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga keempat, lelaki itu didakwa telah berkomunikasi secara seksual kepada anak tirinya berusia 14 tahun enam bulan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Bemban dalam daerah Jasin antara 11 Jun sehingga 31 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan hendaklah dikenakan tidak kurang dua sebatan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun sekiranya dibenarkan mahkamah, beliau menawarkan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan.

Mahkamah turut diberitahu mangsa kini tinggal bersama ibunya, manakala tertuduh dijaga oleh oleh anak-anak kandungnya.

Difahamkan kejadian itu terbongkar selepas ibu mangsa bercerai dengan tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam Umar Zulkarnain bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan selain bayaran ikat jamin akan dibuat oleh anak-anak kandungnya yang hadir pada prosiding hari ini.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 beserta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 23 November ini. – MalaysiaGazette