Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berucap ketika hadir ke Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-10 UNIFIL di Pangkalan Udara Subang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2022.

SHAH ALAM – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencabar mana-mana pihak untuk mengemukakan bukti sekiranya wujud salah laku dalam perolehan pesawat latihan lanjutan dan dwifungsi tempur ringan (FLIT-LCA).

Beliau tidak menolak kemungkinan banyak tuduhan akan dilemparkan bukan sahaja aset Kementerian Pertahanan bahkan semua aset negara sebagai modal politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tak tahu nak cari salah ini macam-macam, lebih-lebih lagi bila dekat dengan pilihan raya.

“Percayalah lepas ini semua aset kita (kerajaan) akan dipertikaikan, semua proses kita akan dipertikaikan.

“Selalunya akan berlaku masa musim tertentu, bagi saya yang penting, nak tuduh….tuduh, panjangkan bukti….panjangkan fakta, jangan main politik dalam hal ini.

“Kalau salah tetap salah, kita salurkan kepada agensi, biar mereka agensi menentukan tuduhan-tuduhan tadi, panjangkan kepada mereka, biar mereka siasat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tambahnya, sekiranya tuduhan-tuduhan itu tidak berasas, pengguna akhir iaitu TUDM akan menjadi mangsa keadaan termasuk lewat menerima aset pertahanan itu

“Setiap kali mereka lemparkan tuduhan-tuduhan tidak berasas, yang jadi mangsa ialah pengguna akhir, yang lambat adalah ATM tak dapat aset mereka, jawablah kepada anggota kita.

“Jangan pada masa sama nanti menimbulkan masalah sampai tergendala proses (perolehan pesawat).

“Tetapi pada masa sama mereka tuduh kita tak cukup aset,” katanya lagi. – MalaysiaGazette