SUBANG – Seorang wanita cedera ringan apabila kereta Perodua Myvi yang dipandunya dirempuh treler selepas mengubah laluan secara mengejut dalam kemalangan membabitkan sembilan kenderaan di Kilometer 38 Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dari arah Shah Alam menghala Subang Jaya hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima mahlumat mengenai insiden tersebut pada jam 8.15 pagi.
“Semasa kejadian pemandu Perodua Myvi yang berada di lorong lurus menuju ke arah Kuala Lumpur secara tiba-tiba telah mengubah haluan ke kiri untuk masuk ke susur Persiaran Kewajipan.
“Ia menyebabkan pemandu lori treler tidak sempat membrek lalu merempuh Perodua Myvi lalu terbalik dan melanggar beberapa kenderaan yang beratur di susur Persiaran Kewajipan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan di lokasi mendapati tiada sebarang kehilangan jiwa atau cedera parah.
Menurut Wan Azlan, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 43(1) Akta pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai dan tidak cermat. – MalaysiaGazette