Tiga individu yang bergaduh di tempat awam dalam keadaan mabuk sehingga salah seorangnya cedera dipukul dengan helmet akhirnya berjaya diberkas polis dalam beberapa lokasi berasingan termasuk di Genting Highlands membantu siasatan.- Gambar iIhsan IPD Kuala Langat.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan tiga sekawan yang disyaki terlibat dalam pergaduhan ketika mabuk sehingga menyebabkan salah seorangnya cedera.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada hari Selasa jam 2.10 pagi di kawasan Banting, Kuala Langat, kata Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh hari ini.

Kejadian itu dikesan polis IPD Kuala Langat melalui satu video berdurasi 12 saat yang dimuatnaik di media sosial.

Pergaduhan itu melibatkan tiga lelaki di atas jalan raya.

“Kejadian tersebut telah menyebabkan salah seorang telah rebah dan cedera akibat dipukul di bahagian kepala menggunakan topi keledar sebelum satu laporan polis telah dibuat bagi tujuan siasatan terhadap mangsa dan suspek berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 324 dan 160 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan topi keledar dan bergaduh di tempat awam.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda dan penjara boleh sampai 6 bulan atau denda.

“Pihak polis telah mengenalpasti suspek tersebut dan kini dalam tindakan untuk menangkapnya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette