KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, golongan pemberi rasuah yang rapat dengan Pakatan Harapan (PH) ketika ia menjadi kerajaan dahulu masih meneruskannya dengan harapan gabungan pembangkang itu akan menjadi kerajaan semula.
Menurut beliau, keadaan akan menjadi lebih parah kerana wujud gabungan pemberi rasuah dan penerima rasuah yang dilaknat Allah SWT.
“Kalangan mereka yang beragama Islam dalam PH, terdapat sebahagiannya yang terlibat sama bergelumang dengan rasuah, malah ada juga yang mengelirukan kerana pada zahirnya kelihatan baik dan mempunyai semangat berapi-api untuk melawan rasuah.
“Namun, hakikatnya melawan rasuah terhadap penerima rasuah sahaja, bukannya terhadap pemberi rasuah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abdul Hadi menambah, lebih buruk lagi, mereka menjadi bisu dengan mendiamkan diri terhadap kemungkaran yang lebih besar terhadap pemberi rasuah.
Bahkan, katanya, mereka turut berdiam diri terhadap perkara yang lebih mungkar daripada itu seperti perbuatan menghina Islam dan merendahkan kedudukan mahkamah syariah sehingga dihina.
“Malah, banyak lagi kemungkaran yang lain yang sedang berlaku dan akan berlaku kalau dibiarkan,” jelasnya.
Bagaimanapun, Abdul Hadi memberitahu, sehingga kini, Pas berjaya membuktikan kerajaan yang bersih daripada rasuah, apabila memerintah dengan kuasa yang terbatas di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Menurut beliau, semua kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pas bersih daripada tuduhan rasuah dan terbuka bebas kepada tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Keadaan ini sangat berbeza dengan kerajaan PH di beberapa negeri dan peringkat Pusat yang ternyata mempunyai tuduhan rasuah, malah dihentikan perbicaraan dan siasatannya.
“Dalam Barisan Nasional (BN) juga, ada yang telah dihukum, dituduh dan diseret dengan tuduhan rasuah ke mahkamah, tetapi tidak dibatalkan kes mereka seperti mana PH,” katanya.
Abdul Hadi berkata, Perikatan Nasional (PN) yang disertai Pas belum terbukti ada yang dikenakan tuduhan dan tiada pula yang dibawa ke mahkamah. – MalaysiaGazette