Shahrul Saad. Foto Facebook Johor Southtern Tigers.

KUALA LUMPUR – Pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shahrul Saad mengakui satu kepuasan tersendiri selepas berjaya melakar jaringan pertamanya musim ini pada aksi pembukaan TM Piala Malaysia 2022.

Jelasnya, dia sudah lama menanti detik berkenaan dan berharap gol yang dicipta pada minit ke-4 bagi menewaskan PJ City 4-0 akan menyuntik motivasinya dalam menambah lagi koleksi jaringan bersama JDT.

Selain itu, Shahrul berkata, kemenangan itu membuktikan semangat berpasukan menjadi teras kekuatan JDT walaupun mereka turun tanpa penggempur utama, Bergson da Silva.

“Secara peribadi, sudah lama saya menunggu lakukan jaringan untuk JDT pada musim ini dan sangat gembira kerana berjaya mendapatkan gol penting kepada pasukan dalam perlawanan ini.

“Saya harap gol ini dapat beri semangat bagi menghadapi perlawanan seterusnya dan sentiasa berkeyakinan jika mendapat peluang bagi lakukan jaringan.

“Bukan kami tidak perlukan Bergson selepas menang selesa tetapi ini bukti semangat berpasukan di dalam JDT sangat baik.

“Sesiapa yang boleh membantu pasukan, kami akan sentiasa berikan yang terbaik bagi mendapatkan gol selain satu lagi paling penting, gawang kami tidak dibolosi dan diharapkan di sana tidak ada masalah buat kami,” katanya.

Dalam perlawanan itu, sepakan penjuru dari sebelah kiri yang diambil Arif Aiman berjaya ditanduk kencang Shahrul yang tidak diberikan sebarang tekanan oleh pemain-pemain PJ City.

Gol daripada Shahrul jelas menyemarakkan semangat perjuangan JDT yang terus menambah kelebihan melalui Safawi Rasid pada minit ke-39 dengan Shahrul juga bertindak pengumpan melalui hantaran jarak jauh.

Dua lagi jaringan JDT terhasil di separuh masa kedua menerusi Akhyar Rashid (minit ke-70) dan Fernando Forestieri (minit ke-79).

Sementara itu, Safawi melaungkan kepuasan apabila diturunkan dalam kesebelasan utama dan berjaya menjaringkan gol keempat peribadinya bersama JDT di pentas Liga Malaysia.

Namun, apa paling penting buat Safawi adalah kejayaan JDT yang berjaya membawa bekalan selesa untuk dibawa pulang ke Stadium Sultan Ibrahim menjelang perlawanan kedua pusingan 16 pada 31 Oktober.

“Pertama sekali saya mahu ucap tahniah kepada pemain dan pegawai serta terima kasih kepada penyokong yang datang dari selatan tanah air untuk berikan sokongan.

“Gol ini bakar semangat serta motivasi sebab dah lama tidak diturunkan dalam kesebelasan utama namun kita masih ada pertemuan kedua di Johor.

“Sememangnya ini satu bekalan selesa tetapi kami masih melihat lagi pertemuan kedua dan akan terus pamerkan prestasi terbaik di laman sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette