KUALA LUMPUR – Pentadbir laman Facebook Najib Razak mempersoalkan tindakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas memfailkan saman terhadap Pasukan Petugas Khas yang menyiasat dakwaan salah laku dalam bukunya yang bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.
“Orang sahkan apa yang kamu tulis adalah benar pun kamu nak saman ke? Kegilaan apa ini?” soalnya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Katanya, Tommy sendiri yang menulis dalam bukunya bahawa beliau campur tangan dalam pelantikan hakim-hakim dan laporan Pasukan Petugas Khas mengesahkan apa yang ditulis oleh Tommy adalah benar.
“Bahawa dia telah campur tangan dalam pelantikan hakim-hakim dan ini melanggar Akta 695 – Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
“Tapi Tommy pula nak saman kerajaan dan mahu mahkamah isytiharkan laporan Pasukan Petugas Khas yang mengesahkan apa yang dia tulis adalah benar adalah dokumen yang tidak sah dan tidak dibenarkan oleh undang-undang,” jelasnya.
Semalam, Tommy memfailkan saman terhadap Pasukan Petugas Khas dan kerajaan atas dakwaan melanggar undang-undang dan hak Perlembagaannya kerana menerbitkan laporan berhubung bukunya.
Beliau memohon deklarasi bahawa pasukan petugas itu sebuah badan yang menyalahi undang-undang dan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan fungsi ditugaskan oleh kerajaan, yang juga dinamakan sebagai defendan.
Thomas juga memohon deklarasi bahawa laporan bertajuk Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice in the Wilderness yang dikeluarkan pasukan petugas itu ialah dokumen tidak sah dan tidak dibenarkan oleh undang-undang.
Dalam saman pemula yang difailkan Tetuan Tommy Thomas itu, beliau berkata, penerbitan itu melanggar Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette