Photo: Razali Nordin

KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengetengahkan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mampu menjadikan GPS sebagai gabungan strategik serta penentu hala tuju politik Malaysia bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang stabil dan bertanggungjawab.

Pengerusinya Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata GPS juga akan memastikan bahawa kesemua 31 calonnya terdiri daripada mereka yang mempunyai semangat ‘Utamakan Sarawak’ bagi menyuarakan agenda dan hak negeri di Dewan Rakyat.

“Kita akan masukkan orang muda, tua, wanita, lelaki serta mereka yang berpengalaman menjadi calon, dan hantar mereka ke Parlimen,” kata Premier Sarawak itu ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera Pemuda GPS di Stadium Perpaduan di sini, hari ini.

Beliau berkata Sarawak harus menjadi ‘jantung’ kepada Malaysia kerana ia mempunyai kekuatan yang mencukupi serta kualiti kepimpinan rakyat yang tinggi, malah pernah berperanan menentukan pemilihan perdana menteri semasa negara mengharungi ketidaktentuan politik susulan apa yang dinamakan sebagai ‘Langkah Sheraton’.

GPS merupakan gabungan parti yang dianggotai Parti Pesaka Bumimputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Sementara itu Abang Johari ketika ditemui pemberita berkata manifesto GPS bagi PRU15 antaranya akan turut menyentuh aspek Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pembaharuan pelan pendidikan dan ekonomi Sarawak.

“Dalam lima tahun ini, GPS telah memainkan peranannya secara bertanggungjawab dan tidak hanya berkisar kepada agenda politik tetapi kita turut menekankan peranan kita ke arah kestabilan Malaysia,” katanya.- BERNAMA