KUALA LUMPUR – Siapa yang boleh menghalang Cheah Liek Hou di Jepun?
Di atas kertas, penyandang juara Sukan Paralimpik perseorangan lelaki dalam kategori SU5 (kecacatan fizikal) itu kini berada dalam landasan terbaik untuk meraih kejuaraan ketujuh dalam kejohanan Para Badminton Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2022 yang berlangsung di Tokyo.
Rekod memberangsangkan pemain nombor satu dunia itu merangkul 13 kejuaraan berturut-turut menjelang kejohanan di Jepun pastinya akan meletakkan beliau sebagai pemain pilihan utama dan pemain yang perlu ditewaskan dalam kejohanan itu.
Bagaimanapun, Liek Hou, 34, yang tetap merendah diri menegaskan bahawa beliau tidak akan memandang ringan cabaran di Jepun.
Memandangkan kategori perseorangan lelaki SU5 sering menjadi medan pertempuran antara Liek Hou dan pemain Indonesia Dheva Anrimusthi, pemain Kuala Lumpur itu berkata terdapat tiga lagi pemain lain yang mampu memberikan ancaman hebat dalam Kejohanan Dunia.
Selain Dheva yang merupakan pemain nombor tujuh dunia, Liek Hou berkata tiga lagi adalah Fang Jen-Yu dari Taiwan, yang kini berada di ranking kedua, diikuti pemain Jepun, Taiyo Imai dan Suryo Nugroho dari Indonesia.
“Saya percaya semua pemain ini telah melakukan banyak peningkatan dalam kategori saya (SU5),” katanya kepada Bernama.
Ditanya mengenai persiapannya untuk merampas gelaran itu daripada Dheva, Liek Hou yang berlepas ke Jepun hari ini berkata beliau masih perlu memperbaiki permainan dan pukulannya.
Liek Hou yang kini dibimbing oleh jurulatih dari Indonesia Nova Armada, juga berharap dapat menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di Negeri Mahatari Terbit itu semasa pertandingan.
Kejohanan enam hari itu akan bermula Selasa (1 Nov) sehingga 6 Nov. – BERNAMA