KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menyeru golongan muda untuk mengundi dengan bijak bagi memilih kerajaan baharu pada 19 November nanti.
Menteri Kewangan itu mengingatkan bahawa setiap undi golongan muda adalah penting untuk memulihkan kestabilan negara, sekali gus mengembalikan tarikan Malaysia di mata pelabur dan komuniti perniagaan antarabangsa.
Menurutnya, tarikh itu adalah hari bersejarah kerana buat pertama kali rakyat Malaysia berumur 18 hingga 20 tahun layak mengundi Parlimen Persekutuan.
“Justeru saya meminta anda semua untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab demokrasi anda sebagai rakyat Malaysia. Mengundi adalah sebahagian daripada kewajipan sivik anda kerana anda bertanggungjawab untuk masa depan negara anda.
“Pertaruhan ini (mengundi) adalah tinggi kerana hasilnya akan memberi kesan kepada penggubalan dasar masa depan. Pilihan di tangan anda,” katanya pada Forum Ekonomi Belia 2022 yang bertemakan “Mengemudi haluan positif bagi pembinaan negara dengan ketangkasan, daya tahan dan impak” di sini, hari ini.
Tambahnya, meskipun apapun keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15, seluruh rakyat Malaysia perlu kembali merapatkan barisan kerana kita semua adalah #TeamMalaysia dan Malaysia harus menang dalam menghadapi cabaran mendatang.
”Jangan kita lupa bahawa pemimpin besar Asia termasuk Mahatma Gandhi dan Jawaharlal Nehru dari India, Sukarno dari Indonesia, Lee Kuan Yew dari Singapura dan juga Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak dari Malaysia semuanya memulakan aktivisme mereka muda, dan tidak semestinya dalam politik.
”Tetapi apabila bangsa mereka memanggil, mereka menjawab, dan mereka dengan rela hati berkhidmat,” tambahnya. – MalaysiaGazette