Kamarudin menukar minyak pelincir milik seorang penunggang motosikal di Karnival Satu Hati Bandar Tun Razak yang turut diserikan selebriti, Ali Puteh (dua dari kanan).

KUALA LUMPUR – Menyantuni rakyat adalah tugasan rutin bagi penyandang Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Walaupun sibuk dengan tugasan jawatan sebelum ini sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dan kemudian bertukar sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri, beliau tetap turun padang tanpa mengira musim pilihan raya atau tidak untuk bersama rakyat kawasan itu.

Kamarudin melontar bola ke jaring sebagai gimik perlawanan bola jaring.

Namun, selepas Dewan Rakyat dibubarkan pada 10 Oktober lalu, beliau mempunyai jadual yang agak sibuk di akar umbi menerusi penganjuran pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Malah, semalam, beliau menghabiskan masa sehari suntuk dalam Karnival Satu Hati Bandar Tun Razak yang diadakan di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Pelbagai program diadakan seperti Fun Run, Fun Ride, Kejohanan Bola Jaring, persembahan oleh tadika swasta Bandar Tun Razak dan tukar minyak pelincir secara percuma kepada 300 motosikal terawal yang turut diserikan dengan kehadiran selebriti pelawak, Ali Puteh.

Kamarudin bersama kanak-kanak tadika swasta yang menyertai persembahan pada Karnival Satu Hati Bandar Tun Razak.

Acara itu dimulakan dengan Kamarudin melepaskan peserta Fun Ride dan Fun Run seramai 200 orang melibatkan jarak berbasikal dan larian sejauh lima kilometer.

Selain itu, kejohanan bola jaring turut diadakan yang melibatkan hampir 20 pasukan golongan belia wanita.

Sementara itu, di dewan utama Pusat Belia Antarabangsa pula lapan tadika swasta Bandar Tun Razak mengambil bahagian dalam persembahan kanak-kanak yang masing-masing ditemani ibu bapa dan guru.

Menurut Kamarudin, karnival itu diadakan bagi menyantuni golongan belia, selain memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan warga Bandar Tun Razak.

Kamarudin bersama penduduk Bandar Tun Razak dalam acara senamrobik.

Katanya, menyedari kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur, pemberian minyak pelincir secara percuma dapat meringankan beban penunggang motosikal.

“Saya harap pemberian ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat terutama golongan B40 dalam kawasan ini,” katanya. – MalaysiaGazette