Friday, December 13, 2024
Home Utama Sebenarnya amat mudah hendak pastikan siapa pengkhianat – Mahathir

Sebenarnya amat mudah hendak pastikan siapa pengkhianat – Mahathir

Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa bukan sukar untuk memastikan siapa yang menjadi pengkhianat sehingga beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas 22 bulan memerintah.

Beliau mendakwa, sebenarnya Muhyiddin yang memecatnya sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dan juga beberapa pemimpin Bersatu lain yang tidak setuju dengan Langkah Sheraton.

Secara sinis Dr. Mahathir berkata, beliau bukan Perdana Menteri pintu belakang atau tebuk atap, sebaliknya Muhyiddin.

”Sebenarnya amat mudah nak pastikan siapa pengkhianat. Ada satu ungkapan Bahasa Latin cui bono – yang bermakna siapa yang mendapat keuntungan dari sesuatu keadaan.

”Siapa yang selepas itu takut hilang jawatan PM hingga sekat Parlimen bersidang? Bukankah Muhyiddin juga PM yang minta isytihar darurat supaya Parlimen tidak dapat bersidang?,” soalnya dalam hantaran, hari ini.

Hantaran ini dibuat sehari selepas Muhyiddin mendedahkan, peletakan jawatan Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari 2020 adalah atas kerelaan sendiri.

Menurut Muhyiddin, sekalipun, sudah dipujuk agar menarik semula keputusan tersebut, Dr. Mahathir tetap berkeras untuk meneruskan niat beliau itu.

Mengulas pendedahan Muhyiddin, Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa Muhyiddin tidak malu kerana walaupun perisytiharan darurat yang dimintanya ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi beliau sanggup minta perisytiharan sekali lagi demi mengekalkan jawatan.

Malah, dakwanya, Muhyiddin yang mengusahakan supaya pilihan raya negeri Sabah dibuat ketika negara teruk dilanda Covid-19 dan selepas pilihan raya itu kes-kes naik mendadak dan ramai yang mati akibatnya.

Dalam kenyataan itu, Dr. Mahathir turut mendedahkan bahawa Muhyddin dengan angkuh mahu menjadi Perdana Menteri dengan sokongan kleptokrat kerana mendakwa tahu menanganinya berdasarkan mempunyai pengalaman politik lebih 40 tahun

Bagaimanapun, katanya, akhirnya Muhyiddin tersembam selepas cuma 17 bulan menjadi Perdana Menteri setelah dikhianati oleh ahli-ahli Parlimen UMNO/BN.

”Dalam pada itu, beberapa negeri yang dipimpin oleh Bersatu telah jatuh ke tangan UMNO dan dibiarkan oleh Muhyiddin asalkan dia kekal jadi PM,” ujarnya.

Dr. Mahathir berkata, biarpun diperlakukan begitu beliau masih sanggup bekerjasama dengan Perikatan Nasional pada PRU15 kerana cuba bersangka baik dengan Muhyiddin.

”Pasti ada yang tanya kalau itulah perangai Muhyiddin kenapa saya sebelum ini sanggup cadang kerjasama Pejuang/GTA bersama PN untuk pilihan raya ke-15. Saya cuba bersangka baik bahawa setelah dijatuh dan dihina oleh UMNO, dia taubat atau merasa kesal dengan perbuatannya.

”Dia khianat kepada saya tidak mengapa. Saya sangka dia akan cuba tebus khianatnya kepada parti Bersatu sehingga hilang beberapa negeri, dan kepada rakyat keseluruhan.

”Rupanya dia tetap angkuh dan hanya mahu menjadi PM,” kata Mahathir. – MalaysiaGazette

Tun M yang mulakan gerakan keluar PH, tapi buat u-turn – Muhyiddin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. inilah percaturan orang politik rebut kuasaaaa…akhirnya rakyat merana…para menteri bergaduh di media tetapi berpeluk makan bersama di parlimen dan hotel…..GAJI MENTERI DAN ELAUN BESAR BELAKA mungkin makan free dimana2 manakala rakyat IKAT PERUT dengan BARANGAN HARGA NAIK DAN DISOROKKAN….MUSIM BANJIR BEREBUT2 NAK TUNJUK HERO…KAMILAH DENGAR DENYUT NADI RAKYAT……BERAPA RAMAI YANG SANGGUP SENGKANG MATA BERSAMA RAKYAT YANG DITENGGELAMI AIR….SETAKAT DATANG NAIK HELI DAN BOT KEMUDIAN BALIK TIDUR LENA DI MAHLIGAI MASING2

Comments are closed.