KUALA LUMPUR – Malaysia menghadapi kemungkaran yang sangat besar selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila pemimpin yang tidak sepatutnya diangkat telah dipilih untuk menerajui kerajaan.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketika itu, asas-asas negara dirobek, kehormatan agama dan institusi Islam digugat, kedudukan bangsa dan bahasa Melayu dicabar, serta pelbagai lagi kebejatan.
“Alhamdulillah, Allah SWT tidak mengizinkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bertahan lama dan Perikatan Nasional (PN) hadir dengan kesedaran untuk sentiasa berkebajikan terhadap rakyat walaupun tanpa manifesto bulan bintang.
“Ambillah pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku itu untuk kita tidak bersikap sambil lewa dalam pemilihan kepimpinan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa pilihan raya bukan medan untuk berebut pangkat dan harta, mengintai projek dan melemparkan pelbagai janji.
Sebaliknya, Abdul Hadi memberitahu, pilihan raya adalah satu kewajipan yang sangat besar bagi menentukan siapa yang akan mewakili dan menjadi pemimpin negara kita untuk lima tahun yang akan datang.
“Kewajipan ini tidak boleh dipermainkan kerana akan dipersoalkan oleh Allah SWT di Mahsyar nanti mengenai pemimpin yang kita jadikan pilihan dan ikutan,” jelasnya. – MalaysiaGazette