calon BN
Gambar hiasan.

KETIKA ini kecoh di sana sini protes yang disuarakan oleh segelintir pemimpin UMNO dan penyokong mereka berhubung soal calon yang bakal diketengahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setakat ini, ‘ribut kecil’ sudah melanda di Arau, Maran, Padang Besar, Tenggara dan Ketereh. Khabarnya, penyandang-penyandang kerusi tersebut mungkin tidak dicalonkan semula.

Ada yang mengambil tindakan menutup bilik gerakan parti di kawasan masing-masing malah ada yang secara terang-terangan menyatakan mereka akan memastikan calon-calon baharu yang menggantikan ‘bos’ mereka akan kalah.

Senario kurang sihat sebegini memang lazim berlaku setiap kali pilihan raya. Yang sudah berpenggal-penggal menjadi wakil rakyat enggan berundur untuk memberi laluan kepada muka baharu.

Mereka seolah-olah menganggap kerusi yang disandang sejak sekian lama itu adalah hak mutlak mereka dan tidak boleh digantikan dengan orang lain.

Kononnya, mereka sahajalah calon yang terbaik untuk memberi kemenangan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) di kawasan masing-masing.

Kelakuan pemimpin-pemimpin UMNO dengan mentaliti warlord itu hanya merugikan parti dan boleh menyukarkan misi BN untuk kembali sebagai kerajaan yang dominan selepas PRU15.

Situasi kali ini adalah lebih getir berbanding PRU14 di mana UMNO dan BN tidak boleh kehilangan walau satu pun daripada 38 kerusi yang disandangnya sebelum Parlimen dibubarkan.

UMNO juga perlu mengembalikan maruahnya di 14 kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU14 tetapi tiba-tiba menjadi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas bekas-bekas pemimpinnya melompat parti.

Selain itu, sebanyak 34 kerusi tradisi UMNO yang dirampas pihak lawan pada PRU14 perlu dimenangi semula bagi memperkukuhkan kedudukan parti sebagai tunggak BN.

Mana-mana pemimpin UMNO dan BN yang tidak dicalonkan semula di kerusi-kerusi yang disandang seharusnya menunjukkan jiwa yang besar dan rela berkorban demi kelangsungan parti.

Contohlah sikap bekas Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah yang awal-awal lagi mengumumkan mereka tidak akan bertanding.

Begitu juga dengan Khairy Jamaluddin yang berjiwa besar memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi Parlimen Rembau.

Buanglah jauh-jauh tanggapan bahawa diri mereka lebih besar daripada parti. Bantulah UMNO dan BN untuk menang besar pada PRU15 walaupun tidak menjadi calon lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast